Bas telah sampai ke destinasi kedua sebelum menuju ke destinasi terakhir. Suasana riuh rendah dengan telatah manusia begitu membosankannya. Nazri telah 5 tahun menjadi pemandu Bas Ekspres. Berbagai ragam manusia sudah jemu diperhatikan. Rakannya telah turun ke Kaunter Tiket untuk mengambil senarai penumpang dari Kamunting ke Kuala Lumpur. Nazri hanya mendiamkan diri di kerusi pemandu. Matanya tertumpu pada sepasang kekasih di kerusi berhadapan dengan kaunter jualan tiket. Begitu romantis pasangan itu bisik hatinya. Melihat pasangan itu Nazri tiba-tiba teringat pada Nadia bekas kekasihnya di Butterworth, Nadia bekerja sebagai kerani tiket. Cintanya berputik selepas 3 bulan Nadia bekerja di situ.

      Saat percintaannya dengan Nadia amat membahagiakan. Kalau boleh setiap saat dia ingin menatap wajah Nadia. Tapi apakan daya manusia hanya merancang, kemungkinan dan kepastian yang nyata Nadia tidak ditakdirkan untuk dirinya. Keluarga Nadia menghalang keras percintaan mereka. Status pekerjaan menjadi ukuran. Mereka memandang hina pada pemandu bas. Nazri terpaksa akur bila keluarga Nadia menerima pinangan dari seorang guru yang bertugas di Butterworth. Akhirnya Nazri hanya memandang sayu di hari persandingan Nadia. Pedih hatinya….

      “Nazri !… semua dah cukup, jom jalan.” Salim mencuit bahu Nazri. Salim dah masak dengan perangai dan tahu benar kisah Nazri, seorang jejaka yang kecewa bila kekasih hatinya telah berkahwin dengan pemuda pilihan keluarga. Dari peristiwa itulah Nazri menjadi seorang pendiam. Bagi Salim, Nazri seorang pemuda yang baik. Satu sikap Nazri yang terpuji, suka menolong orang. Dia juga tak pernah meninggalkan sembahyang. Salim amat menghargai Nazri sebagai sahabat yang terbaik dia jumpa.

    Kenangan Nazri bersama Nadia lenyap bila munculnya Salim dengan wajah selambanya sambil tersenyum penuh makna pada Nazri.

     “Nazri…” Salim memandang Nazri.

    “Kenapa Lim ?” matanya terus tertumpu pada lebuhraya. Kenderaan bertali arus di waktu-waktu begini. Tenang Nazri menanti bicara dari Salim.

     “Kau nak tak… kalau aku kenalkan kau dengan sorang awek?” Salim tersengeh. Salim seorang yang kelakar tapi baik.

       “Haaa! Awek mana pulak kau nak bagi kat aku ni. Woii kau jangan mengarut” Nazri mengelengkan kepalanya.

        “Mengarut apanya.. betul ni… si Maria tu” bersemangat Salim bercerita.

      “Maria….. Maria mana pulak ni ? ishkkk mengarutlah kau ni Lim” tumpuannya masih di lebuhraya. Sesekali dia ketawa kecil bila mengenangkan Salim. Nazri masak benar dengan perangai Salim, boleh dikatakan playboy pakwe sorang ni. Setiap terminal bas ada saja aweknya, yang hairan tu ada pulak awek yang berkenan dengan Salim.

      “Kau ni Nazri…. Maria pun kau tak kenal ke ? Alah… pekerja baru kedai makan Pak Abu di Tanjung Malim tu. Aku tengok dia selalu perhatikan kau, cantik budak tu. Kalau aku..memang tak kasi can punya” terkekek-kekek Salim ketawa. Entah apa yang melucukan. Nazri hanya menggelengkan kepalanya.

      “Aku bukan macam kau lah Salim… tiap terminal yang kita singgah ada saja kerani tiket yang kau goda. Terminal Bas tu dah berubah jadi Terminal Cinta, yang mana satu yang kau suka ni Lim…. aku naik hairan dengan kau ni”.

      “Aku bukan macam kau Nazri, awek kena kebas terus menyendiri. Kau pulak sampai bila nak hidup sendiri? Tak teringin ke ada isteri… ada anak… ada tempat bermanja dan bermesra. Kau tengok aku awek ramai… tapi dorang semua tak tau, ehh… tapi….. betul juga kata kau Nazri aku tak tahu yang mana satu nak pilih sekarang ni”.

      “Tak elok kau bersikap begitu Lim, luka hati mereka kalau mereka tahu kau tak setia. Keikhlasan penting Lim kalau kita nak hidup bahagia”. Nazri tersenyum bila tengok Salim mengangukkan kepala seolah mengerti maksud nya.

      “Habis tu..macam mana dengan Maria, Nazri… kau nak tak ?”.

     “Tak payahlah Lim, hati aku belum terbuka lagi buat masa ini. Mungkin aku belum jumpa yang sesuai dengan jiwa aku”.

     Biarlah hati ini kosong jika itu lebih bermakna dari melukakan… bisik hatinya perlahan. Perbincangan terus tertutup bila Salim sendiri telah lelap dibuai alunan bas. Mungkin bermimpikan awek-aweknya.

*************************

     Hari ini Terminal Bas di Kamunting sama seperti hari-hari yang lalu. Suara pemandu Teksi memanggil penumpang jelas kedengaran. Suasana kadangkala bagaikan pasar borong. Hari ini merupakan hari pertama Suriani bekerja sebagai kerani tiket di Syarikat Mutiara Hati. Agak kekok juga dia memulakan tugasnya. Perasaan malu begitu menebal dalam jiwanya. Dia tekad untuk mencuba, rasanya kerani tiket juga merupakan satu pekerjaan yang mencabar. Ya Allah kuatkan iman ku bisik Suriani.

     “Mana bas ni!!?”. Sergah seorang pemuda pada Suriani. Pucat muka Suriani. Terkejut dengan sergahan pemuda itu.

     “Sekejap lagi Encik, dalam perjalanan”. Suriani cuba memberi senyuman walaupun pun dia sendiri yakin senyumnya begitu hambar.

     “Teruk betul Syarikat ni, dah lewat satu jam tahu tak?”. Pemuda itu terus berang sambil menunjukkan jam tangannya. Kelewatan yang tak diminta.

     Apalah nasib aku, baru hari ni kerja dah kena marah. Selalu ke lewat bas ni, teruklah macam ni kalau hari-hari kena marah bisik Suriani dalam hati. Lega hati Suriani bila bas yang dinanti menjelma di platform. Semua penumpang berpusu-pusu menaiki bas, perasaan marah telah hilang bila bas yang ditunggu telah tiba. Penumpang dan bas umpama pasangan kekasih. Lambat saja tiba hati rasa resah gelisah, Suriani tersenyum sendiri bila mengenangkan perumpamaan yang diciptakannya. Sebentar lagi bas seterusnya akan tiba senarai nombor tiket perlu disiapkan, nanti penumpang tak marah pemandu pula marahkan aku. Cepat-cepat Suriani menyiapkan kerja yang belum dibereskan. Suriani tersenyum bila semua kerja dah disiapkan. Waktu rehatnya telah tiba, Suriani berkemas untuk ke Surau di hujung banggunan tersebut sebelum dia pergi ke kedai makan di seberang jalan. Rakan setugasnya juga telah sampai selepas makan. Suriani sempat memberikan senyum ikhlas pada Norlida.

     “Sue…. kalau kau nak makan, pergi kedai Mak Limah tu. Murah sikit dari kedai lain”. Sambil menudingkan jarinya menghala ke kedai yang dimaksudkan.

     “Terima kasih Ida” tersenyum manis sekali lagi buat Norlida.

     Bas yang dipandu oleh Nazri dan Salim telah sampai 30 minit lebih awal dari jadual perjalanan. Salim bergegas untuk ke kedai makan.

      “Nazri.. jom kita pi makan dulu”. Salim menanti di tangga bas.

     “Kau pergi dulu…. aku nak solat, sekejap lagi aku sampai”. Nazri tersenyum dan terus melangkah ke surau di hujung banggunan. Semasa Nazri nak melangkah masuk dia terpandang seorang gadis ayu hendak keluar dari Surau. Sempat juga Nazri melirik pada gadis yang menunduk semasa lalu di hadapannya. ‘Ayu… harap dia naik bas yang aku pandu nanti… mungkin boleh aku berkenalan dengannya nanti’ bisik hati Nazri. Tersenyum sendirian lalu terus menunaikan perintahNya.

      Sambil berjalan menuju ke kedai makan, mata Nazri tercari-cari gadis ayu yang ditemuinya di Surau tadi. Wajah ayunya bermain dimata. Dimanakah dikau wahai gadis misteri, tiba-tiba saja hatinya terpaut pada seorang perempuan. Sedangkan sudah hampir setahun Nadia telah meninggalkannya. Tak seorang perempuan pun yang dapat membuka pintu hatinya, walaupun Nazri tahu ramai anak gadis menaruh hati padanya. Namun pintu hatinya seolah telah tertutup rapat yang tak mampu dibuka oleh sesiapa selepas Nadia. Kenangan indah bersama Nadia begitu sukar untuk dikikiskan dari ingatan dan mimpi yang menemani tidur.

      Kerana itulah Nazri rela bersendirian, dia tidak mahu menipu tentang perasaannya. Dia tak sanggup melukakan kerana dia tahu bagaimana peritnya terluka.

       “Nazri…. Kau tahu... ada kerani tiket baru di Syarikat bas kita ni. Cun budak tu… aku rasa kalau kau tengok dia mesti kau terpikat. Orangnya bersopan santun tak macam gadis yang selalu kita jumpa. Kau pergilah sekali sekala dekat kaunter tiket tu, boleh kau tengok dia”. Salim begitu ghairah menceritakan pada Nazri.

      “Malaslah aku….. 2 hari lepas aku terserempak dengan seorang gadis depan Surau tu, manis wajah dia. Sampai sekarang aku masih ingat wajah dia”.

     “Patut aku tengok kau semacam je kebelakangan ni… rupanya kau dah kena penyakit angau ye”. Salim ketawa sambil menepuk-nepuk bahu Nazri.

      “Kau ketawakan aku Lim….. kalau kau tengok pun mesti kau terpikat”.

     “Dah lah tu Nazri…. hari ini aku nak kau pergi ke kaunter tu pergi ambil senarai nombor tiket, sesambil tu kau intai sama awek yang baru kerja tu. Tak silap aku nama dia Suriani, pergi cepat Nazri… aku nak relek hari ni”.

      “Teruklah kau ni Lim…. ada-ada saja. Okey.. kali ni aku mengalah… aku nak pi intai ni, lepas ni bolehlah aku nyanyi lagu ‘ku intai cinta dalam rahsia’”. Nazri turun dari bas sambil diperhatikan oleh Salim dengan senyum simpul. Nazri berjalan dengan penuh debar. Mana agaknya awek yang dimaksudkan oleh Salim. Tak nampak pula ada kerani baru, yang ada hanya Norlida dan Pak Cik Manan.

     “Assalammualaikum.. Ida”. Nazri tersenyum sambil matanya memandang sekitar dalam kaunter yang sempit tu.

     “Waalaikummussalam… aikk.. baru nampak muka abang Nazri. Mimpi apa malam tadi?” Norlida tersenyum sambil menghulurkan senarai nombor tiket yang dikehendaki.

     “Tak adalah….” Nazri malu-malu terus mengambil senarai yang diberikan.

      “Agaknya dia nak tengok si Sue kot Norlida… Sue cutilah hari ni Nazri” sampuk Pak Cik Manan. Merah padam muka Nazri menahan malu, apa lagi Norlida dan Pak Cik Manan sama-sama ketawa. Nazri terus melangkah dengan perasaan malu dan geram pada Salim. Buat malu aku saja Salim ni… kalau aku tak ikut katanya tadi tentu aku tak malu. Salim ni memang nak kenakan aku agaknya. Nantilah kau Salim…….

     “Bagaimana.? Cantik tak?”. Salim tak sabar-sabar nak dengar dari mulut Nazri tentang Suriani.

      “Kau ni buat malu aku saja tau, Pak Cik Manan dan Norlida ketawakan aku tadi. Tak pernah muncul depan diorang tetiba muncul… diorang ketawakan aku”.

      “Macamana? Terpikat tak pada Suriani?” Salim terus bertanya.

      “Mana ada budak tu….. dia cuti lah..”. hampa wajah Nazri.

      “Lerr….. patutlah murung saja, maaflah aku betul-betul tak tahu dia cuti”.

     “Sudahlah tu… aku tak nak tengok dia lagi, buat malu saja”. Nazri terus menghulurkan senarai pada Salim dan dia terus ke kerusi pemandu. Bila semua telah selesai bas pun beredar meninggalkan Terminal Kamunting. Semasa memandu hatinya masih teringat pada gadis ayu yang ditemuinya di Surau itu. Kalau dia berkerja di kawasan situ pasti aku akan termuinya lagi. Kalau tidak…… tinggallah aku merindu bagaikan pungguk rindukan bulan. Bagaimana hatiku boleh tertarik dengan gadis misteri itu. Apa yang harus ku lakukan kiranya dia tidak ku temui lagi. Semua pertanyaan itu berlegar-legar difikirannya. Dan pastinya tiada jawapan bagi setiap soalan yang menganggu mindanya ketika ini.

*************************

      Suriani kini telah dapat menyesuaikan diri dengan kerjayanya. Hanya usikan nakal dari pemandu-pemandu yang cuba memikatnya membuatkan dia rasa kurang selesa. Norlida banyak membantunya dalam apa juga keadaan. Suriani rasa bertuah mempunyai seorang rakan yang baik seperti Norlida. Suriani ingin menjadi seorang pekerja yang berdedikasi. Ada ketikanya dia berasa tertekan dengan karenah penumpang yang sering marah-marah bila bas yang dinanti tiba lewat dari jadual yang disenaraikan. Agaknya mereka mempunyai hal yang penting hingga tak dapat mengawal perasaan. Akhirnya melepaskan perasaan marah mereka pada kerani tiket yang bertugas, itu yang buat dirinya tertekan. Namun kerana tugas Suriani tetap cuba berlembut dan tenang sebaik mungkin. Hanya Allah yang tahu perasaannya ketika itu.

       Nampaknya hari ini Nazri terpaksa ke kaunter tiket bila Salim awal-awal lagi telah bergegas ke tandas. Perut bermasalah katanya, Nazri tanpa banyak kata terus menuju ke kaunter tiket.

       “Assalamualaikum…. Minta senarai no tiket”. Nazri bersuara tanpa memandang pada Suriani bila matanya tertumpu pada pemandu teksi yang bergurau sesama mereka. Lucu juga mereka ni, kebanyakan dah berusia tapi mereka masih mencari rezeki. Gurauan mereka menarik perhatian Nazri, begitulah kehidupan.. kalau tiada gurau senda pasti membosankan. Dia dan Salim juga sering bergurau sedemikian.

       “Waalaikummussalam…” Suriani meletakkan senarai di atas kaunter.

     “Abang… itu senarai nombor tiket yang abang minta tadi” lembut suara Suriani. Keasyikan Nazri memerhati pemandu teksi itu bergurau memaksa Suriani memanggilnya berulang kali.

     “Ohh…. maafkan saya” Nazri tersenyum. Matanya memandang Suriani tanpa berkelip. Mulutnya kini bagaikan terkunci rapat. Tiada kata yang mampu dilontarkan keluar. Semuanya rasa bagaikan kaku membeku….. bagaikan mimpi dirasakan bila gadis misteri yang dirindui berada di depan matanya. Adakah aku bermimpi, Nazri mencubit lengannya. Sakit. Aku tak bermimpi.....

      Suariani memandang Nazri penuh kehairanan. Kenapa pulak mamat sorang ni, macam nampak hantu aja. Apa yang tak kena dengan aku hari ni, rasanya tak ada apa yang tak betulnya. Kenapa agaknya cik abang sorang ni.

      “Ada apa yang boleh saya bantu..” lembut suara Suriani menyapa Nazri yang bagaikan terkejut bila terpandang wajahnya.

       “Aa… tak… tak ada apa… awak ke Suriani kerani baru disini?” tergagap-gagap Nazri bertanya. Kalau ada Salim pasti dia akan diketawakan. Nasib baik perut kau buat hal Lim…. berpeluang aku jumpa gadis misteri yang kini sering hadir didalam mimpinya. Nazri tersenyum sendiri bila mengenangkan sesuatu yang tak terduga muncul... mungkin berkat doanya setiap kali solat.

      “Ya.. saya…” Suriani merasa hairan dengan telatah Nazri.. mula-mula bagaikan terkejut kini tersenyum-senyum sendiri pula…

      Nazri berlalu dengan perasaan yang gembira. Kalau ikutkan hati mahu saja dia mencium pipi Salim tanda terima kasih yang tak terhingga kerana menemukan dirinya dengan gadis misteri yang dirindui. Tak sabar rasanya dia nak ceritakan pada Salim tentang gadis yang ditemuinya di Surau tempoh hari adalah Suriani.

      “Amboi! Nazri…. senyum semacam saja tu.. ada apa-apa ke ni?”.

     “Terima kasih banyak-banyak Lim, hari ni aku belanja kau makan”. kelihatan berseri wajah Nazri hingga menimbulkan kehairanan pada Salim.

      “Apa kena pulak ni Nazri ? naik gaji ke dapat bonos kau ni…?”

      “Lim… kau ingat tak awek yang aku jumpa dekat depan surau hari tu?”.

   “Hmm…. Ingat… kenapa kau jumpa dia lagi?” Berminat betul Salim nak mengetahuinya hinggakan mulutnya ternganga menanti cerita seterusnya dari Nazri. Gembira dia rasa bila hari ni wajah Nazri benar-benar ceria.

     “Tutup mulut kau tu... nanti lalat masuk” Nazri terkekeh-kekeh ketawa bila melihat wajah Salim yang begitu tak sabar. Kelakar.

      Akhirnya Nazri luahkan semua yang terpendam di lubuk hatinya pada Salim. Hanya Salim yang dapat membantu dia menyelesaikan segala hasrat dan impian yang menerangi kelam malam dirinya sebelum ini. Tak terluah dengan kata-kata bagaimana gembiranya perasaan Nazri kiranya impiannya kali ini tercapai.

     Di luar hujan masih belum berhenti, suasana dingin menyelimuti diri. Nazri begitu bersemangat memandu. Salim telah lama dibuai mimpi. Sesekali Nazri memandang pada Salim yang begitu nyenyak, hasratnya untuk menjadikan Suriani teman hidupnya masih belum pasti. Apa pun Nazri berdoa agar ia tidak kecewa lagi. Cukuplah kelukaan lalu yang begitu mendalam, Nazri ingin membina hidup baru. Bukan mudah untuk mencapai impian, banyak onak dan duri yang harus ditempuhi… tapi biar gagal selepas mencuba dari mengalah sebelum berjuang. “Suriani…. Moga kau dapat menerima diri ku”, bisik Nazri sendiri.

       Nazri menyandarkan tubuhnya ke kerusi dan melepaskan keluhan yang entah untuk apa. Ditebarkan pandangan ke sekelilingnya, setitik airmata dipipi menyedarkan sesungguhnya dia terlalu lama mengelamun. Kenangan adalah sejarah. Kita belajar menjadi dewasa daripada sejarah. Sejarah hidupnya adalah sejarah yang perit dan melukakan, tapi dari keperitan itu dia harus bangun dan sedia menghadapi hidup ini. Aku lebih berhak ke atas diriku sendiri bisiknya.

       Biarlah kenangan lalu menjadi sejarah dan pedoman untuk dia mengahadapi hari yang mendatang. Telah banyak dugaan yang dilaluinya, telah banyak rintangan yang ditempuhi. Tidak dinamakan kehidupan jika tiada kekalutan dan tidak dinamakan kematangan jika tiada cabaran yang menduga. Nazri yakin dia dapat membahagiakan Suriani, juga yakin Suriani akan membahagiakan dirinya juga. Esok Salim akan memberitahu Suriani hasratnya. Bagaikan tak sabar dia menanti hari esok. Penentu masa depannya.

*************************

       Hari ini Suriani bekerja dengan penuh semangat. Tiada masalah dengan kelewatan bas dan tekanan dari penumpang, semuanya berjalan dengan lancar. Gembira hatinya dalam keadaan suasana begini. Tenang dan damai.

      “Assalammualaikum Sue..” Salim tersenyum manis.

      “Waalaikummussalam abang Salim” Suriani menjawab mesra.

      “Abang Salim ada hajat dari seseorang yang nak disampaikan buat Sue”.

      Suriani hanya tersenyum sambil mengelengkan kepala. Dia dah tahu benar sikap Salim yang suka bergurau. Tangannya masih ligat menulis sesuatu. Salim hanya memerhati dan menanti tindakbalas dari Suriani.

      “Apa hajatnya ni Abang Salim…?” Suriani pula tersenyum.

     Salim tersenyum gembira bila Suriani bertanya. Ada petanda baik ni. Salim pun menceritakan pada Suriani tentang hasrat murni Nazri. Suriani hanya tersenyum sambil menundukkan wajahnya, mungkin malu bisik Salim.

      “Kenapa Abang Nazri tak cakap sendiri dengan Sue..?”

      “Dia malu… tak pe... nanti Abang Salim suruh dicall Sue”

      Hasrat murni Nazri telah Salim sampaikan. Hanya doa tulus ikhlas dari Salim moga kali ni hajat Nazri tercapai. “Manusia sebaik itu pasti Allah akan merestuinya” bisik Salim dalam hati.

      “Nazri……aku dah sampaikan hajat kau pada Sue”.

      “Apa katanya?” penuh tanda tanya diwajah Nazri.

     “Sue minta kau cakap sendiri padanya, aku rasa ada respon baiklah Nazri. Jangan risau, aku rasa dia terima kau”. Salim faham perasaan Nazri ketika itu.

       “Apa pun terima kasih Lim…. kau sajalah sahabat baik aku”.

      Salim menepuk-nepuk bahu Nazri. Sambil tersenyum makanan dihadapannya tak lupa disuapkan ke mulutnya. Hanya Nazri yang seolah-olah telah hilang seleranya untuk makan. Hatinya ketika itu begitu berdebar-debar. Debaran yang hanya dia yang tahu. Nazri takut kekecewaan lalu berulang lagi.

      “Dah tu Nazri…. makan dulu, sekejap lagi kita nak mulakan kerja. Insyaallah kalau dah jodoh kau... tak kemana”. Salim menenangkan Nazri.

      Nazri tersenyum hambar tapi tetap ikhlas buat Salim. Nazri mengakui akan kebenaran kata-kata Salim, ‘kalau dah jodoh tak kemana’ dia tak perlu risau. Tak kan lari gunung dikejar…. tapi yang dikejarnya seorang gadis ayu, mana mampu hatinya setenang air di tasik. Namun dia tetap pasrah.

      “Hello….. Assalamualaikum”.

      “Waalaikummussalam……” manja suara Suriani menjawab telefon.

    “Sue….. ini Abang Nazri” tersekat-sekat suara di telefon. Suriani rasa berdebar. Mulutnya bagaikan terkunci untuk mengeluarkan sebarang kata-kata.

      “Tentu Sue tahu hasrat Abang Nazri, rasanya Abang Salim dah jelaskan”.

      “Yer…. Sue masih ada ibubapa, dan kita punya adat yang indah. Kalau Abang benar berhajat… jumpa ibubapa Sue….”

    Nazri merasa begitu gembira…. destinasi kasih sayangnya dah bertemu dengan ‘Terminal Cinta’ Nazri yakin dengan terminal cintanya. “Ya Allah pasti kau tahu apa yang ku harapkan…. bisik hati kecilnya. Senyum sendiri.