
|
“Woi Shah! awek kau datang tu…” ujar Bad sambil menepuk bahuku. Aku, Midi dan Lan serentak berpaling. Apabila terpandang sahaja orang dimaksudkan, aku terus menjuih bibir. Tiga orang mamat itu pun tergelak besar. “Cis! Melampau tu… Kau cakap baik Bad, ada yang kena silambam kang.” Kataku dengan geram. “Janganlah marah Shah… Cun aper awek hang…” usik Midi tersengih macam kerang busuk. Bengangnya! nak aje aku karete anak mami sorang nih… “Shhh… Diam woi dah dekat tu.” Sela Lan memberi amaran. Terus jer kami diam tatkala gadis itu lalu di sebelah kami. Macam biasa, dia mesti pakai jeket kulit. Fuh.. serba hitam pulak tu hari ni... aku menggelengkan kepala. Tak sesuai langsung pakai macam tu nak masuk kelas. Macam nak gi race motor jer lagaknya. Eeii teruk betul minah sorang ni. Ada ker patut macam ni yang dikatakan awek aku? Tolong sikit… Seperti selalunya juga, bukan kami berempat aje yang curi pandang kat dia, pelajar lain pun turut menjeling dengan pandangan semacam. “Eh, siapa nama budak ‘Tomboy’ tu ?” “Kalau tak silap aku Jo”. Itu je perbualan yang sempat singgah di gegendang telingaku ketika aku, Bad, Lan, Midi dan pelajar-pelajar lain berebut mencari tempat duduk dalam bilik kuliah yang padat macam tin sardin tu. “Shah, tu pojaan hati kau masuk.” Aku buat derk aje sebab aku tahu Bad nak mengenakan aku sekali lagi. Midi dan Lan memandang pintu masuk kafe. “A’ah.. betulla awek hang…” “Eleh.. banyak la kau punya awek…” “Eh cepat la tengok Shah. Kalau tak rugi besar hang…” “Kau jangan buat pasal Midi… naya kang hidung kau tu…” Aku mngacukan penumbuk. Midi memegang hidungnya yang mancung seperti Apek Senario itu mendengar gertakanku. Lan senyum dan menggeleng-gelengkan kepala. Entah macam mana, beg galas yang aku sangkutkan pada kerusi jatuh. Ketika aku berpaling untuk mengambilnya, dadaku terus berdebar tak menentu. Nun di kaunter pembayaran, berdiri seorang gadis jelita dengan gaya begitu ‘vogue’. Rasa nak gugur jantungku melihat si cantik manis bernama Camelia itu. Aku mula syok pada dia semenjak pertama kali melihatnya pada masa minggu suaikenal di fakulti. “Hang ni kot ya pun, janganlah menung sampai macam tu. Kontrol ‘macho’ la sikit member.” Midi menyikuku, kalau tak gerenti mata ku masih terpaku pada Camelia. “Ok, cukuplah tu. Cepat habiskan makan. Tinggal lima minit lagi kelas Dr. Lee nak mula.” Kami terus memandang jam tangan masing-masing. Alamak!!! “Kau ni pun satu Midi. Apasal dari tadi tak ingatkan ? kelas tu dah la jauh, lambat lagilah kita jawabnya.” Rungutku. “Ntah! Teruk betullah kau ni.” Sokong Bad. “Awat hangpa tak Tanya ?”balas Midi selamba. Walaupun selalu berbalah, aku, Bad, Lan dan Midi memang kamcing dan satu kepala. Sebab tu la kot kami boleh ‘klik’. “Shah, betul ke kau minat giler kat Camelia tu ?” soal Bad ketika kami sedang berehat semasa sesi latihan bola sepak petang itu. Aik, apasal aje mamat ni tanya macam tu. Dah dekat satu juta kali aku sebut nama Camelia, takkanlah dia tak faham-faham lagi? “Habis kau ingat aku main-main ke ?” “Manalah tahu. Kau tu bukannya pernah lekat dengan satu awek.” “Itu aku mengaku. Tapi Camelia ni menggegarkan imanku. Boleh gila jadinya.” “Betul ker ni ?” Nak aje aku bagi sebijik kat budak Bad ni. Macamlah dia tak pernah ada tiap kali aku usaha budak Camelia tu. “Kesian…” Ucap Lan. “Apasal lak ?” “Yalah jerat hang susah nak sangkut kali ni.” Sampuk Midi. “Silap haribulan burung jambu tu disambar garuda, alamat melepaslah hang.” Walaupun bengang mendengarnya, aku sedar kata-kata Midi tu berasas juga. Sememangnya, dalam ramai-ramai awek yang ku pikat, si Camelia ni liat sikit. Tak ada respon langsung biarpun dah hampir dua bulan aku ‘tackle’ dia. Jual mahal la tu… takpe… takpe… “woit! layan blues ker ?” Aku tersentak dan terus pandang Bad. “Macam ni la Shah. Sebab kau dah angau gila kat Camelia tu, aku sanggup tolong kau.” Ujar Bad. Aku tersenyum sinis. Boleh caya mamat sorang ni. “Kau biar betul, kau ingat Camelia tu adik kau ke ?” Perliku. Bad tenang aje, macam dah tahu aku tak yakin dengannya. “Memanglah bukan adik aku. Tapi dia ‘room mate’ Zeti, awek aku tu. Kau tahu ajelah si Zetikan ‘terror’ dalam bab-bab macam ni.” Faham la maksudnya tu. Midi dan Lan macam burung belatuk, menyokong aje kata-kata Bad. “OK ‘deal’.” Kataku gembira. Bad tersenyum penuh misteri. “Tapi tak semudah itu kawan.” Aku mula mengesyaki sesuatu yang tak kena. “Kau ada ‘assignment’ yang perlu dibereskan dulu.” Kan aku dah agak. “Apa dia ?” cakap ajelah. Apa saja aku sanggup buat.” Kataku tanpa menyedari yang aku dah termasuk perangkap. “Jeng… Jeng… Jeng…” si Midi buat gimik. “Kau kena berbaik-baik dulu dengan sorang awek tu…” Terang Lan. “Ya, sampai dia syok kat hang.” Tokok Midi. “Siapa…?” “Jo…” rasa nak pengsan aku mendengar jawapan yang keluar dari mulut mereka bertiga. Aku menepuk dahi. Bad, Midi dan Lan tergelak besar. Rupa-rupanya diorang dah berpakat nak mengenakan aku. Cis! Cis! Cis! Betullah kata orang, perempuan ni besar pengaruhnya. Demi nak memikat Camelia, aku sanggup masuk ke mulut naga. Bad, Midi dan Lan pun pada mulanya tak percaya aku tergamak menyahut cabaran mereka. Bayangkanlah, Azrul Shah cuba memikat ‘tomboy’. ******************** Dari jauh aku dah nampak si tomboy tu menyepak-nyepak tayar motornya. Aku tahu di tengah berangin satu badan tu. Aku pura-pura lalu kat situ. “Hai..” tegurku. Risau jugak dalam hati ‘tomboy’ yang dipanggil Jo ni akan melenting. Karang dengan aku sekali disepaknya. Dengar cerita dia ni ada ‘black belt’. Tak ke naya aku nanti? “Hai..” sapaku lagi. Mungkin dia tak dengar tadi. Jo yang sedang memeriksa tayar motornya berpaling. Mukanya… alahai macam nak telan orang. “Apa kau nak ?” bentaknya dengar kasar. Tergugat jugak kejantananku. Tapi aku buat tak kisah. Patutlah dia ni tak ada kawan dan sering bersendirian, bengisnya mengalahkan singa betina. Orang pun takut nak berkawan dengan dia. Mana ada lelaki berani mengusiknya. Akulah yang pertama agaknya. Itupun kalau tak disebabkan Camelia jangan harap aku nak berbaik, menyapanya pun aku tak sanggup. Sebenarnya sejak tahun satu lagi aku dah kenal si Jo. Kenal-kenal gitu ajelah sebab satu fakulti. Sikitpun aku tak pernah ambil pusing pasal dia. Dia tu pun bukan ‘coursemate’ aku. Cuma kebetulan semester ni aku ambil sama ‘paper’ dengan dia. “Err… nampak macam ader ‘problem’ aje. Tayar pancit ker.” Lawak aje bunyinya aku tanya soalan tu. Memang aku dah tahu pun sebab aku la gerangannya yang memancitkan tayar motornya. Saja… strategi permulaan. Bukan nak pancing ikan aje kena ada umpan, nak buat baik pun mestilah ada sebabnya. Jo pandang aku dengan tajam. “Pancit ker… rosak ker… kau peduli apa ? jangan nak jadi penyibuk.” Aduh kejam betul ayat awek ni. Kalau la awak tu tomboy tak boleh ker berlembut dengan aku yang budiman ni. Sadis... sadis mujurlah kesabaran ini masih kuat. “Janganlah cakap macam tu. Saya ni ikhlas nak tolong awak…” pujukku selembut mungkin. “Tak payah. Aku rela tolak motor ni dari mintak tolong dengan kau..” tengkingnya. Aku terkedu terus. Tak terkata dah. Sesuai sangatlah motor tu dengan tuannya. Garang dan kasar sungguh. Jo terus menyorong motor Viragonya menuju ke bengkel di luar kampus. Amboi, keras hati betul kau ya. Aku berpaling dan baru aje beberepa tapak melangkah, telingaku terdengar sesuatu. Budak tiga orang tu tengah gelakkan aku rupanya. Hampeh… Setelah hampir setengah semester berlalu, aku tak baik-baik juga dengan Jo. Dia macam tu jugak, tak pernah beri peluang pada aku. Setiap kali aku cuba berborak, jawapannya mesti kasar dan pedih. Pernah sekali tu dia ugut nak tumbuk aku kalau aku cuba lagi nak tegur-tegur dia. Aduh, dahsyatnya ‘tomboy’ ni, ‘brutal’ habis… Aku dah mula nak ‘surrender’ sampailah pada suatu hari… waktu tu aku tengah ‘rushing’ ke dewan besar sebab ada ujian. Lan, Midi dan Bad telah pergi dulu. Aku yang suruh. Aku lambat sebab cari kad matrik yang entah mana aku campak. Akhirnya jumpa juga, itupun beberapa minit aje dari masa ujian. Apalagi, aku pecut motor sampai 160Km sejam. Sampai jer kat satu selekoh yang agak sunyi, aku nampak sorang mamat tengah sorong motor. Sah, motor rosak. Entah macam mana, aku rasa simpati dan nak menolong biarpun aku sendiri dah terlambat. Yang peliknya, tak pernah aku sebaik ini. Aku terus berhentikan motor dan tegur mamat tu. Apabila dia berpaling jer… “Jo! Kenapa ni?” Soalku dengan rasa terkejut yang amat sangat. Bukan mamat rupanya, tapi minah ‘tomboy’. Dari riak wajahnya aku tahu dia juga terkejut. “Minyak habis…”jawabnya lemah. Apabila dia bercakap dalam nada begitu. Barulah aku tahu yang suaranya agak lunak. “Jom kau tumpang aku, motor tu kau tinggalkan dulu. Kita dah lambat sangat ni…” kataku. Dalam hati aku tak yakin dia akan bersetuju. Tapi Jo yang terdiam sejenak terus membonceng TZMku. “Shah, ‘thanks’…” rasa tak percaya telinga aku mendengar ucapan lembut itu ketika kami melangkah sebagai pelajar paling lewat ke dalam dewan peperiksaan itu. Hidup ini memang pelik. Jika dulu, tak terlintas langsung di fikiranku untuk menegur apatah lagi berkawan dengan gadis ‘tomboy’ bernama Jo ini, alih-alih sekarang, aku dan Jo dah macam belangkas. Apalagi, gemparlah satu kampus berita ini. Akibatnya, ramai yang kutuk dan pandang serong terhadap aku. Tapi, aku buat bodoh aje, malas nak angkat pot. Jo kini menjadi ‘pensyarah’ Matematik Kejuruteraan yang tak rasmi. Dia yang ‘terror’ dalam subjek tu tak pernah kedekut ilmu mengajarku. Hasilnya, dalam ujian berikutnya aku dapat B. perubahan ini juga betul-betul mengejutkan tiga orang sahabatku. Tapi mereka menganggap semua ini adalah kerana Camelia. “Jo, aku nak tanya kau sesuatu...” kataku, merenung wajah Jo. Teringat aku kata-kata Lan suatu masa dulu. Jo sebenarnya cantik. Cuma ‘dressing’ dan gayanya yang macam jantan itu yang menutup segala kecantikannya. Waktu itu, aku mati-mati memprotes. Bagiku Jo tiada keistimewaan langsung. Sekarang aku mengaku yang cakap Lan dulu tu berasas. Jo memang cantik, biarpun berambut pendek dan tanpa secalit mekap, wajahnya menawan dengan sepasang mata coklat yang bagaikan menyimpan sejuta rahsia. Kecantikan Jo adalah asli, tak seperti kebanyakan gadis yang aku kenali. “Tanyalah..” katanya sambil menulis ‘assignment’ untuk kumpulan kami. “Errr… bagaimana kau boleh jadi macam ni ? maksud aku err… macam mana kau boleh jadi…” ujarku dengan teragak-agak kerana isu yang aku utarakan itu begitu sensitif. Jo serta merta berhenti menulis lalu merenungku tajam. Sinar matanya yang pudar itu membuatkan aku rasa menyesal kerana tak terfikir seribu kali sebelum bertanya. “Jadi apa? Tomboy.” Soal Jo dengan nada yang agak keras. Alamak, mesti dia marah… aku mula risau. “Sorrylah Jo, aku tak berniat nak sakitkan hati kau. Aku Cuma nak tahu jer…” kataku dengan harapan dia tak jadi marah. Jo membisu agak lama. Kemudian dia tersenyum hambar. Lega sikit hati aku. “Betul ker kau nak tahu Shah ?” tanyanya dengan serius. Aku angguk. “Tapi kau mesti janji. Jangan beritahu orang lain. Selama ni aku tak pernah beritahu sesiapa pun…” “OK, aku janji.” “Dulu, aku liar…” Jo memulakan cerita. “Tapi, apa kena mengena dengan diri kau sekarang ni ?” soalku tak sabar-sabar nak tahu. “Shah, tolong jangan menyampuk masa aku tengah bercakap.” Jo nampak bengang. “Sorry… sorry… teruskan.” “Hidup aku jadi porak peranda lepas ‘parents’ aku bercerai. Aku ‘tension’ sangat dan rasa hidup ni dah takde makna. Aku mula campur budak-budak liar. Waktu tu lah aku kenal Dino. Sebab aku ni bodoh dan terlalu percayakan dia, aku sanggup lari dari rumah. Tak sangka, dia tu binatang rupanya. Dia bagi aku pil khayal dan ...” wajah Jo berkerut dengan api kebencian. “Mujur aku masih sedar. Kalau tak, tentu aku dah jadi mangsa jantan celaka tu.” Sambungnya penuh geram. Hatiku terharu dan simpati pada Jo. Nasibnya tak ubah macam aku juga, anak mangsa penceraian ibu bapa. “Oh, pasal tu ah kau jadi macam ni, ya.” Dugaku. “Ya. Sejak tu aku susah nak percayakan lelaki. Jantan, semuanya pembelit.” Aku terkedu. Aku ni termasuk juga ker ? “Tapi nama betul kau kan Juwita. Apasal jadi Jo pulak ?” soalku. “Aku benci nama tu, terlalu sentimental dan feminim. Tak sesuai dengan aku.” Jelas Jo dengan nada meluat. “Eh, sedap apa nama kau tu. Aku suka. Kalau kau benarkan nak aje aku panggil macam tu...” kataku jujur. Jo merengus. “Baik ko jangan Shah. Naya kau nanti…” ugutnya. Aku tahu dia tak bergurau. “OKlah, tapi kau yakin ker dengan imej macam ni kau boleh jauhkan diri dari lelaki ?” aku cuba mengujinya. “Dah tentu. Kau tengoklah mana ada lelaki yang berani kacau aku. Diorang tak suka adalah.” “Kau silap Jo, masih ada yang suka kat kau…” tuturku sambil merenung lembut ke wajahnya. Jo nampak terkejut. “Mustahil. Kau jangan nak merepek.” “Betul, aku suka dan seronok kawan dengan kau.” Jo terus bangun mendengar kata-kataku. “Ah, karut aje…” bentaknya sebelum bingkas meninggalkan aku yang terpinga-pinga dengan tindakannya. Alamak aku tersilap cakap ker… keliru gak aku… Masa berjalan begitu pantas. Semester ini berlalu sebaik saja para pelajar menduduki ‘final exams’ masing-masing. “Jo terima kasih sebab kau dah banyak tolong aku…” ujarku ketika memulangkan buku yang kupinjam darinya. Ada sesuatu yang kubawa bersama petang itu. “Kau pun sama Shah, ‘thanks’ sebab terlalu baik pada aku…” balasnya. Entah mengapa, wajah Jo nampak murung hari itu. “Masa cuti ni kau nak ke mana ?” soalku menyedari tak banyak topik untuk dibualkan. Jo termenung sejenak. “Entahlah, tak pasti lagi. Tapi rasanya aku akan balik rumah mak cik aku kat Langkawi. Kau ?” “Sepupu aku yang ‘studi’ kat US ajak aku ikut dia. Kalau tak ada aral bulan depan aku pergilah. Kat sini pun buka ada sesiapa...” keluhku. “Wow, jauh tu…” “Memanglah, tapi kau jangan risau, kat hujung dunia sekali pun aku tetap ingat pada kau.” Jo nampak terkejut mendengar kata-kataku. “Takpelah Shah, aku kena blah dulu…” ujarnya tiba-tiba. “Eh, apasal ni ?” soalku kehairanan dengan perubahan mendadak Jo. “Ada hal sikit…” jawabnya acuh tak acuh. “Kalau macam tu tak apalah… tapi tunggu kejap ya. Aku ada ‘something’ untuk kau...” tuturku. Jo kelihatan tergamam ketika aku menghulurkan satu bungkusan yang telah kubungkus cantik itu kepadanya. “Apa ni..” soalnya dengan sepasang mata coklatnya memandang penuh curiga kepadaku. “Rahsia. Tapi kau akan tahu juga nanti…” kataku sebelum Jo beredar. “Jo… aku tunggu jawapan dari kau semester depan…” jeritku dengan harapan Jo akan mendengarnya kerana ketika itu dia sudah agak jauh berlalu. ******************** Di fakulti kejuruteraan. Para pelajar mengerumuni kaunter pendaftaran tak ubah macam semut menghurung gula. Aku, Lan, Bad dan Midi tak ketinggalan. Takut terlepas peluang untuk mendaftar kursus elektif yang begitu laris macam pisang goreng panas. “Hei Shah, tu heroin kau tengah pandang sini.” Ucap Bad kaut. Aku lantas menoleh dan seorang gadis rupawan sedang melemparkan senyuman paling manis buatku. Menurut Bad, Zeti telah menjalankan tugasnya dan hasilnya amat positif. Camelia mula menunjukkan minat padaku. Tapi… maaflah. Bukan Camelia yang baru-baru ini kulihat mendampingi ‘sugar daddy’nya sambil bersikap sumbang di KLCC itu yang membuat aku ternanti-nanti. Sebaliknya, aku rindukan wajah seseorang yang telah hampir tiga bulan tidak kutemui. Wajah itulah yang sering menjelma dalam mimpiku biarpun sedaya mungkin aku cuba menghindarinya. Oh Tuhan, adakah aku sedang dilamun cinta. “Shah…” suatu suara lunak menegurku. Aku terus berpaling dan saat itu juga segala mimpi indahku selama ini menjadi realiti. “Jo…” teriakku tanpa mempedulikan khalayak yang sedang memerhati. Dia tersenyum sipu dan menggeleng kecil. Hampir-hampir aku tak mengenalinya. “Bukan Jo… Juwita…” tuturnya membetulkan panggilanku. Aku yang masih tergamam mengamati gadis ayu yang rambutnya hampir mencecah bahu itu. Yang lebih membuatkan aku terpempan adalah pakaiannya. Sepasang kurung biru pemberian dariku. Bukan aku sahaja, malahan Bad, Lan, Midi dan semua pelajar yang berada di situ tidak dapat menyembunyikan perasaan melihat penampilan baru si tomboy ini. Mereka semua bersorak ketika Juwita yang menawan melangkah penuh anggun ke sisiku. Saat itu juga, jika dibandingkan semua gadis cantik di dunia ini pasti tak akan setandingmu. Juwitaku sayang…. |