Aku tidak dapat menipu diri ku sendiri. Aku rasa, aku benar-benar menyayangi buah hatiku itu. Aku teringat kembali segala kenangan bersama-sama Is. Bagi aku, Is tidak seperti lelaki lain yang ku kenali. Is seorang yang baik dan penyayang. Dia tidak penah marah-marah depan aku. Aku mengenalinya sejak tahun lepas dan kami menjalin cinta 8 bulan yang lalu tetapi aku dapat memberi tafsiran yang positif tentangnya. Agaknya mungkin kerana dia budak kampung yang masih terpelihara tingkah laku dan pemikiran yang penuh dengan ciri-ciri lelaki timur. Dia tidak suka berpeleseran seperti remaja dewasa yang lain apalagi menjejaki kelab-kelab malam. Is hanya tahu pergi kerja dan balik kerja. Hari minggu dia hanya berehat di rumah bersama-sama teman serumahnya ataupun membuat kertas kerja. Jika Is berkesempatan dia akan pulang ke kampung.

      Sudah 2 minggu Is tidak menghubungiku. Aku harap Is masih seperti dulu. Salahkah aku kerana mengharap Is selalu menelefonku? Aku tahu Is terlalu sibuk dengan kerjanya hinggakan tiada masa untuk aku tetapi apalah salahnya bercakap denganku barang seminit dua? Aku terasa airmataku menitis lagi. Kali ini aku rasakan terlalu lama Is mendiamkan diri. Hari itu aku yang menghubungi Is. Sebenarnya aku malu untuk menelefonnya. Yelah, siapalah aku ni kalau nak dibandingkan dengan dirinya yang berpelajaran tinggi tu. Aku belajar setakat SPM sedangkan Is berjaya melanjutkan pelajaran di seberang laut. Sekarang Is bekerja di sebuah syarikat antarabangsa memegang jawatan yang bagus. Mungkinkah Is sudah berubah atau bosan denganku? Alangkah bagusnya jika ku tahu jawapan itu. Is pernah menasihatiku supaya melanjutkan pelajaran ke menara gading tetapi aku rasa macam malas nak perah otak mengulangkaji pelajaran seperti di zaman persekolahan dulu. Aku katakan pada Is aku akan menimbang perkara tersebut tetapi sampai sekarang aku tidak berbuat apa-apa. Is pun tidak bertanya lagi tentang itu sejak kali terakhir aku bertemu dengannya bulan lepas. Mungkinkah kerana hal tersebut Is bersikap dingin terhadapku? Dua bulan lepas Is pernah tidak menghubungiku selama beberapa minggu tetapi Is masih juga seperti dulu. Is kata kerjanya memerlukan komitmen yang tinggi jadi dia hanya dapat menghubungiku sekiranya ada masa terluang. Is pernah berkata jika aku melanjutkan pelajaran Is akan membantu aku dari segi kewangan. Terharu aku mengenangkan kebaikan Is. Is terlalu baik buatku. Kadang-kadang aku rasakan aku tidak berhak memiliki kekasih seperti Is.

      Aku remaja yang sukakan kebebasan tetapi Is pula suka terperap di rumah. Walaupun aku suka bersosial tetapi tidak bermakna aku melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Aku hanya suka berkawan dan aktif dalam kegiatan rekreasi, itu saja. Hujung minggu aku dan kawan-kawanku akan membuat perjumpaan kecil dan mengadakan aktiviti seperti camping ataupun berkayak. Paling tidak pun aku akan lepak bersama-sama kawanku di gerai mamak berbincang tentang program yang akan diatur untuk kami. Walaupun letih tetapi aku seronok. Aku juga tidak mengabaikan Is malah aku sanggup melupakan kawan-kawanku seketika kerana dia. Is pernah berkata kepadaku lebih baik aku melupakan aktiviti tersebut buat sementara waktu dan belajar semula. Is kata keputusan SPM aku bagus dan tiada sebab aku tidak diterima masuk ke universiti. Apabila Is tiada disisiku barulah aku terfikir tentang semua ini. Selama ini aku hanya memandang remeh apa yang diperkatakannya. Memikirkan semua itu menyebabkan aku berada di dalam dilema. Aku sayangkan Is tetapi untuk memenuhi harapannya terhadapku terasa begitu sukar. Sudah 3 tahun aku meninggalkan persekolahan dan terasa bebal hendak belajar semula. Isk kenapa Is tak tepon aku! Hatiku tertanya-tanya sendiri. Bagaimana agaknya aku akan meneruskan perhubungan aku dengan Is kalau Is selalu tiada masa buatku? Dapatkah aku bersabar? Kadang-kadang aku berasa sedih dan kecewa. Aku juga ingin seperti pasangan kekasih lain yang selalu berhubung dan berjumpa. Mungkin benar kata Is dulu jika aku sambung pelajaran tidaklah aku terasa sunyi. Walaupun aku ada ramai kawan tetapi aku masih terasa seperti kehilangan sesuatu. Aku berasa boring apabila berada di rumah. Kawan-kawanku kebanyakannya masih belajar di universiti dan di kolej. Kadang-kadang aku ternganga mendengar perbualan mereka tentang hal-hal berkaitan pelajaran mereka. Aku pula masih menganggur sejak berhenti kerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Aku tidak tahan dengan kerenah majikan yang suka memperlecehkan kerja aku. Keluargaku pula tidak habis-habis menyuruh aku mencari kerja dari membuang masa melepak dengan kawan-kawanku di rumah sewa mereka. Kadang-kadang aku berasa diriku tiada haluan.

      kringg kringgg…telefon menjerit minta diangkat. Aku ingat kan siapa rupanya pakweku! Is baru pulang dari melaka semalam kerana ada kursus di sana. Is mengajak aku keluar hari ini. Yahoo…gembiranya hatiku kerana Is masih seperti dulu. Aku tidak sabar hendak bertemu dengannya tetapi aku malu kerana muka aku ditumbuhi jerawat. Aku membelek-belek jerawat yang timbul betul-betul atas batang hidung aku. Besar pulak tu! Aku fikir daripada aku malu baiklah aku batalkan saja pertemuan dengan Is hari ini. Alah esok hari ahad mesti boleh jumpa untuk melepaskan rindu..bisik hati kecilku. Bagilah apa saja alasan yang wajar. Aku mencapai gagang telefon sambil fikiranku mencari-cari alasan yang sesuai.

      “Alah Min, rilek la…takkan jerawat punya pasalpun kau nak jadikan alasan? Buat lawak betul la kau ni.” Siti kawan baikku sudah mula membebel macam murai tercabut ekor.

      “Kau tak tahu Siti sebab kau takde pakwe macam pakwe aku. Pakwe aku ni bukannya senang nak dapat.” Aku membalas pertanyaan Siti sambil mataku memerhatikan sepasang kekasih yang sedang menjamu selera dua baris dari meja tempat aku makan.

      “Dah tahu susah nak dapat pakwe macam tu so ikutlah apa nasihat dia. Ni tidak, ikut kepala sendiri je. Sampai bila kau nak harapkan SPM kau tu? Kalau kau belajar sekarang 3 atau 4 tahun lagi kau dah grad, boleh dapat kerja yang bagus macam dia.”

      “Wahhh makin panjang pulak ko berleter yer Siti. Kau cakap senang lah kau dah grad, tak lama lagipun kau nak kahwin dengan Arbi cinta hati kau di kampus tu. Aku jugak yang masih membujang macam tak laku.” Aku mendengus kecil. Ku lihat Siti ketawa mengekek-ngekek. Hampehnya minah!

       “Oi apsal ketawa? Gelakkan orang nombor satu. Ni jerawat aku ni macamana?” Terasa pedih apabila aku pegang jerawat tersebut.

       “Kalau kau pegang lagi dia lambat baik. Kau buat donno je la…kan dah letak oxy…ishhh tak cacatnya jerawat sebutir kat batang idung tu…dah nak kering dah pun.” Aku tersengeh macam kerang. Semalam aku kata pada Is aku perlu temankan mak aku pergi hospital ambil ubat jadi aku bercadang untuk berjumpa hari ini tetapi aku lihat jerawat aku masih kelihatan. Aku malu!!!

        Aku lihat Is tersenyum simpul sepanjang pertemuanku dengannya petang tadi.

      “Is tengok Min kiut la arini.” Uwaaa aku rasa macam hendak menangis je kena perli macam tu. Perli baik punya.

    “Hei, kenapa diam ni. Macam takde mood jer. Is tengok arini Min lawa dari biasa la…hahaha…”

      “Erk, apsal Is gelakkan Min?” Aku rasa muka aku dah cukup tebal mengalahkan mekap artis terkenal. Merah padam muka aku rasakan, macam terbakar.

      “Eh..eh tadik pakai pemerah pipi ke?” Wah ini sudah lebih. Aku terdiam lantas ku sasarkan pandanganku ke arah lain dan automatik mulutku muncung ke depan.

      “Alah nak bergurau sekali-sekala pun tak boleh ke? Meh Is tengok jerawat tu, sakit ke..cian dia.” Bertambah panjang muncung mulut aku ni. Aku rasa kalau nak gantung dengan penyangkut bajupun boleh ni.

      “Ok la ok la…Is mintak maaf kay. Is bergurau je sebab Is tengok Min tak abih-abih dok pegang jerawat tu. Naik lunyai tisu tu.” Comelnya muka Is semasa dia kata, “Is mintak maaf kay.” Ni yang buat aku bertambah sayang ni. Is manja bucuk-bucuk intan payung. Lain kali jangan buat lagi tau! Kataku tapi dalam hati saja. Apa yang mampu aku pamerkan hanyalah sebuah senyum kambing. Lepas ni aku tak nak jumpa Is sebulan!

       Setelah berfikir selama 2 bulan akhirnya aku bersetuju untuk menyambung pelajaranku. Aku beritahu Is kalau aku dapat melanjutkan pelajaran aku mahu mengambil jurusan undang-undang. Aku tahu Is mahu aku mengambil pengajian dalam bidang komputer kerana kata Is zaman sekarang yang berteknologi tinggi menuntut masyarakat yang celik dan mahir IT. Is tidaklah memaksa aku mengikut kehendaknya. Aku juga minat komputer tetapi cita-citaku untuk menjadi seorang peguam lebih mendalam. Aku mahu mengikut jejak bapa saudaraku yang telah membuka syarikat guamannya sendiri. Mudah-mudahan dapatlah aku “chambering” di pejabatnya. Aku lihat Is gembira sekali apabila ku suarakan hasrat untuk menyambung pengajian.

      Kini aku di semester satu di Fakulti Pentadbiran dan Undang-Undang di sebuah universiti tempatan. Aku rasa lebih seronok tinggal di kolej bersama-sama teman baru. Walaupun mereka lebih muda daripadaku tetapi aku tidak pernah berasa tersisih. Mungkin kerana aku pandai berkawan dan peramah pula. Segala-galanya berjalan dengan lancar cuma aku perlu berusaha lebih sedikit. Maklumlah aku ni dah lama tinggalkan buku-buku. Lainlah kawan-kawanku yang baru keluar dari sekolah. Aku sangkakan akulah yang paling veteran di sini rupa-rupanya ada lagi yang lebih veteran daripadaku. Aku berasa hiba. Mereka yang sudah berumur dan beranak-pinakpun mempunyai keazaman yang tinggi untuk belajar tetapi aku hanya leka dengan dunia ciptaanku sendiri.

      “Kalau Min berjaya dalam semester satu nanti Is bagi hadiah.” Is suka benar mengumpan aku. Aku bukanlah gadis materialistik yang inginkan harta benda seperti perempuan moden sekarang. Aku hanya mahukan kasih-sayang dan kesetiaan Is. Cukuplah kalau Is kata Is cintakan aku, itu sudah memadai sebagai hadiah. Walaupun sudah masuk bulan ke-11 tetapi aku tidak pernah mendengar Is kata “I love you” ataupun “Is cintakan Min”. Kawan-kawanku kata Is pemalu. Yeke pemalu? Bukan ego? Aku rasa bukan susah sangat nak cakap I love you. Dalam telefonpun jadilah. Tapi aku tahu aku hanya berangan. Hendak berkata rindupun payah apalagi sayang. Macam aku saja yang terhegeh-hegeh dekat dia. Tapi kalau Is tak sayang kat aku tak kan lah dia sanggup mengeluarkan duit poketnya untuk membayar yuran pengajianku. Semua kawan-kawan memuji kebaikan Is termasuklah keluargaku. Mak dengan ayah sekarang sudah tidak memanggil nama Is lagi tetapi bakal menantu. Kadang-kadang berasap telinga aku mendengarnya. Bukan tidak suka tetapi malu. Belum jadi lagi buat apalah nak panggil macam itu. Kalau tidak jadi siapa yang malu nanti? Aku dan keluargaku juga. Dalam keseronokan aku mengelamun jam di atas meja studiku sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Sepatutnya aku tidur awal hari ni kerana esok aku ada kuliah pukul 8.30 pagi. Akhirnya aku terlelap juga dibuai mimpi indah antara aku dan pakwe…

      Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya menduduki peperiksaan dan aku harap keputusan yang bakal aku perolehi tidak mengecewakan aku. Aku tidak mahu terlalu yakin tetapi aku percaya usahaku pasti membuahkan hasil. Aku cukup berpuas hati kerana boleh dikatakan aku dapat menjawab semua soalan. Aku harap penat lelah aku bersengkang mata selama ini berbaloi. Cuti sebulan aku manfaatkan dengan bertemu kawan-kawan lamaku. Mereka cukup merindui aku dan mereka kata ketiadaan aku membuatkan mereka kehilangan teman untuk berjenaka. Maklumlah aku suka buat lawak. Aku terharu kerana kawan-kawanku terus memberi semangat untuk aku meneruskan pengajianku. Mereka juga tidak lupa bertanya perkembangan aku dan Is. Aku katakan aku dengan Is ok je padahal sudah sebulan aku tidak berjumpa Is. Semasa aku berhempas-pulas mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan baru-baru ini Is langsung tidak menghubungi aku. Aku harapkan Is akan telefon memberi kata-kata semangat ataupun ucapan selamat maju jaya pada aku tetapi tiada sebarang berita yang aku terima. Mujurlah aku tidak terlalu memikirkan tentang dia dan menumpukan perhatian terhadap pelajaranku. Mungkinkah Is outstation atau berkursus di luar Kuala Lumpur? Selalunya Is akan beritahu kalau dia tiada di sini.

       Cuti sebulan aku rasakan bagai setahun. Is masih membisu sehinggakan aku rasa malu sangat hendak menghubungi dia. Kali terakhir Is hantar sms kepadaku 3 minggu lepas. Oleh kerana aku kehabisan kredit jadi aku pinjam handphone Ina, kawan sebilikku untuk membalas sms Is. Sepatutnya aku patut buang perasaan malu kerana aku dan Is pasangan kekasih, suka sama suka bukan aku syok sendiri tetapi aku tidak tahu kenapa aku malu sangat dengan Is. Mungkin kerana aku sedar diri aku yang tidak se-“perfect” Is. Kawan-kawan aku kata aku perempuan ego yang hanya mengharap Is sahaja menghubungi aku padahal mereka tidak faham bagaimana perasaan aku mempunyai pakwe seperti Is. Aku bersyukur kerana mempunyai kekasih seperti Is, sudahlah kacak, bijak dan baik pula tu tetapi dalam masa yang sama aku berasa takut dan risau. Aku bukan perempuan lawa. Aku rasa aku tidak sepadan dengan Is cuma harapkan kulit aku sahaja yang putih macam kulit Is. Kadang-kadang timbul perasaan curiga tentang Is. Bukan kadang-kadang tetapi selalu. Sesiapa yang memandang Is mesti akan pandang buat kali kedua. Is sangat comel apabila dia senyum. Kawan-kawan ku di kolej pandang Is macam jakun. Sabar je aku. Mungkin sukar bagi mereka mempercayai bagaimana perempuan macam aku mampu memenangi hati seorang lelaki seperti Is. Kawan-kawan kolej aku tidak habis-habis memuji Is dan mengatakan aku bertuah mempunyai pakwe sekacak Is. Tidak terdetik langsung perasaan bangga dihati aku. Aku cemburu. Benar-benar cemburu. Kalau hendak puji janganlah puji Is depan aku. Terukkah aku? Aku tahu Is baik tetapi perasaan curiga aku amat ketara apabila Is mendiamkan diri. Aku sedar bukan sekali Is buat macam ni tetapi sudah beberapa kali.

       Is sibuk Min, nanti dia dah free pandailah dia call ko, bisik hati kecilku. Kadang-kadang aku rasa macam tidak tahan berkeadaan begini. Cuti semester aku hendak bersama-sama Is tetapi Is tiada disisiku. Aku rindu! Keluarga aku pula mula bertanya bila aku hendak mengikat pertunangan dengan Is. Walaupun aku sudah beritahu aku mahu menghabiskan pengajianku tetapi mereka kata tiada salahnya aku bertunang dulu. Jika aku berumahtangga mereka lagi suka. Ayahku kata sekarang ramai yang berumahtangga semasa belajar dan tiada masalah dengan pelajaran mereka. Itu mereka bukan aku. Aku bukan cerdik macam kawan-kawan aku yang tidak perlu perah otak sangat untuk mendapatkan A. Aku mula rasa bosan tinggal di rumah jadi aku pulang ke kolej awal dari biasa. Oleh kerana ramai kawan-kawanku yang masih belum berada di kolej dan tiada apa yang hendak ku lakukan akhirnya aku telefon juga Is. Aku tebalkan muka kerana aku terlalu rindukan dia.

       “Is, kenapa Is tak tepon Min?”

       “Is bz sangat…sori la..lagipon Is tak nak kacau Min. Min study la elok-elok ye.”

       Aku rasa seperti hendak menangis mendengar suara Is. Betapa rindunya aku pada Is lebih-lebih lagi apabila Is cakap lemah-lembut dengan aku.

       “Habis tu takkan tak boleh jumpa langsung?” Aku toleh ke kiri dan ke kanan takut-takut ada orang mendengar perbualan aku dan Is.

       “Boleh, bulan depan ok sebab Is tengah sengkek ni.”

       “Alah..takpe Min ada duit.”

       “Ehhh jangan…nanti ya bulan depan Insya Allah kita jumpa. Is tengah drive ni.”

       “Ok, drive safely… bye.. Assalamualaikum…”

     “Waalaikummussalam.” Gagang ku letak dengan perlahan. Aku rasa airmataku berlinang. Nasib baik tiada orang kalau tidak malu aku. Aku merasakan Is seperti tidak kesah dengan panggilan aku tadi. Apa salahnya berhentikan kereta sekejap untuk melayan aku bercakap? Alah..Is nak cepat sampai rumah tu..Is dah penat, aku memujuk diri sendiri.

        Kenapa Is sengkek? Apa dia dah buat dengan duit dia? Aku tertanya-tanya sendiri. Is pernah cakap dengan aku Is mahu memikirkan tentang kerja dan Is kata dia sedang mengumpul duit tetapi aku tidak berani bertanya untuk apa. Siti kata Is kumpul duit sebab nak kawen dengan aku. Betul ke? Kalau betul alangkah seronoknya aku. Is pesan dia hanya mahu aku tumpukan pada pelajaran sampai aku grad nanti. Aku tidak faham dengan Is. Walaupun perhubungan aku dan Is sudah masuk setahun tetapi aku masih merasakan aku baru kenal Is. Mungkin kerana aku dan Is jarang berjumpa dan berhubung. Jumpa sebulan sekali dan telefon seminggu atau dua minggu sekali. Pernah kami tidak berjumpa sebulan. Bulan depan kalau Is tidak mengajak aku keluar jawabnya dua bulanlah aku tidak bertemu dengan Is. Kalau jauh tidak mengapa tetapi aku dan Is tinggal di dalam satu bandar. Ada ke orang bercinta macam aku bercinta dengan Is? Aku tidak peduli semua itu asalkan Is sayang dan setia padaku tetapi kali ni aku rasa macam tidak dihiraukan. Setibanya aku di bilik aku menangis sepuas-puas hati.

Saban hari ku mencarimu
Semalaman ku mengenangmu
Marah, resah gelisahku menjadi satu

Ku tahu kau di dalam dilema
Sukar untuk membuat pilihan
Jangan kau cepat berubah
Pendirian dirimu…oho…

Salahkan ku…jangan salahkan ku
Kasihani aku..kau lupakan diri aku
Mana satu…ku jadi keliru
Aku makin keliru

Dikau selalu saja begini
Aku selalu tak mengerti
Namun ku masih percaya
Kita harus bersama…

Ingin jumpa…tak ingin berjumpa
Ingin bercinta…tak ingin bercinta
Dan pintaku…beri jawapanmu
Ku tak ingin keliru

     Bait-bait lagu nyanyian Nurul dan Ajai yang kedengaran di radioku hayati. Lagu itu mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku antara aku dan pakweku.

     Aku tidak mahu bersedih. Aku cuba memandang positif setiap apa yang berlaku antara aku dan Is. Selama ini Is lah banyak memberi dorongan kepadaku. Kalau bukan kerana Is mungkin aku tidak berjaya seperti sekarang. Is, Min akan buktikan pengorbanan yang Is hulurkan tidak sia-sia. Is lah sumber inspirasi Min untuk berjaya, kataku didalam hati sambil melihat slip keputusan peperiksaan yang aku terima siang tadi. Aku mendapat tiga pointer. Aku berazam semester depan aku mahu mendapat anugerah Dekan. Aku tidak sabar hendak bertemu dengan Is esok untuk memberitahu Is keputusan peperiksaan yang aku terima.

     “Min kena paham kerja Is. Is selalu stay back kat office sebab kerja banyak, lebih-lebih lagi dua orang office mate Is dah transfer tempat lain. Kadang-kadang Is kena datang office kol 1 pagi sebab server down. Is kerja tak tentu, kalau orang lain cuti Is pulak kena dok office. Kalau bukan Min, siapa lagi yang boleh faham Is?”

     Aku terdiam. Kata-kata Is tidak dapat aku jawab. Aku tahu kerja Is berkaitan network jadi tentulah masa Is tidak menentu. Aku sendiripun tidak berapa tahu bidang komputer ni jadi aku tidak dapat mengagak bagaimanakah sibuknya Is. Min bukan harapkan Is selalu jumpa Min tapi at least Min nak tahu Is masih ingat kat Min…itu je, aku berbisik di dalam hati. Hendak ku luahkan tapi lidahku kelu. Baru tadi aku gembira kerana mendapat pujian dari Is. Sekarang aku bersedih pula sebab kena dengar ceramah Is.

     “Is kena kerja kuat sebab Is orang susah. Is kena support family Is.” Is memandang aku dengan pandangan yang aku sendiri tidak dapat menafsirnya.

      “Kenapa Min diam?” Is seperti dapat menduga gelodak hatiku.

     “Er…Min paham keja Is tapi Min cuma nak Is tahu Min tanak dipermainkan,” Ayat spontan itu yang keluar dari mulutku.

       “Siapa yang nak memainkan Min lak nie?” Is tersenyum.

    “Manalah tau kan.. yelah Min ni apalah yang ada tak macam Is.” Aku sudah berani menyuarakan isi hatiku.

      “Min ada ciri-ciri wanita pilihan Is. Is tengok Min sesuai dengan Is. Kenapa, Min tak trust Is ke?” Aku tersengeh melihat Is memandang aku dengan pandangan perli.

       “Hehehehe…” aku gelak lagi.

      “Min nak kawin umur brapa?” Tiba-tiba Is bertanya soalan yang pendek tetapi sudah cukup membuatkan hatiku berdebar-debar macam baru lepas lari 100 meter. Is nak kawin dengan aku ke?

       “Er…Is nak kawin umur brapa?”

       “Eh orang tanya dia, dia tanya kita balik.”

       “Hehehehe…” itu je yang mampu aku luahkan.

       “Gelak pulak. Min penah tengok bendang?”

        Aku geleng kepala. “Tengok dalam tv penah la.”

        “Nanti Is bawak Min pi kampung Is, nak tak?”

        “Er…er…kampung Is?” aku ternganga.

        “Haa kampung Is la. Nanti kita main bendang…tali air…”

         “Nanti Min nak duduk rumah sapa kat kampung Is tu.”

         “Min ada kawan kat sana? Tak pun nak duduk umah family Is pun bole gak… biasakan diri dengan diorang..hehehe…” Is gelak.

          Aku hanya mampu tersenyum. Dalam hatiku dup dap dup dap. Nasib baiklah Is tidak boleh dengar degupan jantung aku kalau tidak malu aku.

         Setibanya di perkarangan rumahku tatkala aku mahu keluar dari kereta Is, tiba-tiba…

        “Min, tunggu kejap.”

        “Aaaa..napa? Is nak masuk ke? Mehla masuk jap minum air”

      “Ehh tak pe…Is nak tunjuk something.” Is mengeluarkan sesuatu. Aku lihat bungkusan tersebut berwarna merah hati. Eh, macam aku pernah lihat bentuk bungkusan tu tapi dimana ya?

      “Min bukak la..” Terkejut beruk aku apabila bungkusan yang aku buka berupa sebentuk cincin emas bertatahkan berlian.

        “Eeee cantiknya Is.”

        “Suka tak? Untuk pertunangan kita.” Is tersenyum dengan tenang. Saat itu aku rasa macam nak peluk je Is tanda gembira dan terharu yang amat sangat.

       “Terima kasih Is.” Airmataku berlinang. Kali ini aku tidak perlu malu dan rendah diri lagi kerana sudah terbukti Is benar-benar menyayangi diriku. Is mahu masuk meminang bulan depan. YahoOo… hatiku melonjak-lonjak kecil. Alhamdulillah, syukurku pada-Mu tuhan…