Berilah kemaafan jika kawan engkau melakukan sesuatu kesalahan terhadap kamu. Dan apabila engkau telah memberi maaf, bererti engkau telah menurut sifat-sifat rasul dan para anbia' serta Tuhan sendiri pun ia amat pengampun dan mengasihani. Ucaplah dengan perkataan yang paling ringan dan amat sederhana tetapi berharga bahawa… Aku memaafkan kamu… Untuk menegakkan pergaulan hidup sehari-hari agar teguh dan kukuh seharusnya kita mesti memiliki sifat rela memberi kemaafan dan keampunan terhadap kawan - kawan ataupun lawan kita yang melakukan kesalahan itu.

       Kerap kita bertemu ada orang yang sentiasa berkelahi dan bermusuhan sepanjang masa, tidak pernah bertegur sapa antara satu sama lain. Sebab sambung -  bersambung, kait berkait hingga beberapa lama tidak kunjung hilang dan padam. Permusuhan itu terjadi kerana orang itu miskin dengan sifat “ HATI YANG LEMBUT".

          Oleh kerana tidak ada hati lembut inilah pula kadang kala kesalahan yang kecil berbunga dan membesar hingga berlanjut musim pula bagaikan api dalam sekam. Sebenarnya bukanlah rugi kita menjadi sebagai seorang pemaaf. Kerana memberi maaf itu adalah seperti kita memberi ubat untuk hati yang sakit. Barangkali dengan jasa baik kemaafan itu akan menjadi kawan kita lebih setia dalam pergaulan, lebih kukuh tali persaudaraan tersimpul kerana memberi maaf itu bukanlah satu soal kecil atau main-main dalam membina persahabatan yang teguh kukuh. Dalam hidup ini biarlah kita banyak memberi maaf dari menyimpan rasa benci dan marah terhadap seseorang. Kerana kemaafan, belas kasihan dan ucapan baik itu adalah ajaran Tuhan. Sedangkan api kemarahan dan benci itu adalah ajaran Syaitan terkutuk yang menjelma dalam tubuh manusia yang sedang marah. Oleh kerana tidak ada sifat maaf inilah kadang-kadang terjadi sesuatu perkara yang kecil telah menimbulkan kemarahan yang besar dalam dada. Sedangkan perkara itu boleh jadi dilakukannya dengan tidak sengaja oleh kawan-kawan kita. Jadi dengan perkara-perkara kecil yang terjadi, biarlah dengan mudah dan senang kita memberi maaf dan biarlah sifat pemaaf itu tetap subur bermukim dihati. Kemaafan adalah suatu perkataan yang amat berharga dan tinggi nilainya.

        Ada orang berkata bahawa hanya dengan kemaafan itu saja yang boleh memanjangkan umur cinta dan mengamankan sebuah masyarakat seperti dalam pepatah " Kemenagan dan kemegahan bukan sahaaj terletak pada kesanggupan merebahkan lawan, tetapi dapat melawan kemarahan hati juga suatu kemenangan yang amat bererti".

Mutiara Hadis :

Hartaku, hartaku, padahal hartanya adalah tiga macam iaitu :

1.      Apa yang dimakannya lalu habis.

2.      Apa yang dipakainya lalu lusuh.

3.      Apa yang disedekahkannya lalu tersimpan di Akhirat.

Selain yang tiga itu, lenyap atau ditunggalkannya kepada orang lain. (Riwayat Sahih Muslim)