
|
Ana sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh berada di situ. Sama ada kerana menuruti kehendak Suzy atau atas dasar keinginan sendiri. Namun apa yang pasti, kehadirannya pada seketika itu cukup untuk membuatkan dia kalut. Kalut dengan pelbagai kemungkinan yang mungkin merusuhkan sanubari. Tepukan gemuruh daripada seisi dewan menyedarkan dirinya di mana dia berada. Nasir, penyanyi tersohor masa kini sudah pun menukar pakaian. Dari sebuah persalinan yang ranggi kepada sebuah persalinan yang lebih kemas. Nasir tampak gah dengan penampilan di atas pentas. Lelaki itu menggenggam mikrofon erat-erat, kemudian memandang kepada seisi penonton. Hati Ana menjadi berdebar-debar. Apakah Nasir melihat diri ini? Jika Nasir melihatnya sekali pun, adakah diri ini masih lagi dikenali? Seorang yang telah jauh berada di puncak sedangkan dia di sini, tersungkur menyembah sebuah kekecewaan yang amat sangat. "Lagu seterusnya dari saya...terimalah, Senandung Buat Kekasih..."kata Nasir dengan suara yang penuh romantis. Penonton-penonton sekali lagi, gemuruh menepuk tangan. Ana menelan liur. Jiwanya gementar dan sebak. Suzy sedikit pun tidak mempedulikannya. Peluang menyaksikan penyanyi pujaan beraksi tidak akan Suzy lepaskan. Tinggallah Ana mengawal hati sedemikian rupa. Ditindih oleh rasa sesal dan sebal. Irama sentimental pun mula berkumandang. Sayup-sayup pada awalnya tetapi kemudiannya menjadi nyata. Seisi dewan senyap sunyi, memberikan perhatian sepenuhnya kepada Nasir yang sedang menghayati lagu yang bakal dinyanyikan. Wajah Nasir tampak mendung. Suram. Seperti seorang yang begitu banyak menanggung kepiluan silam. Nasir memejam mata. Berkerut seribu. "Duhai gadis pujaan hati..."Suara Nasir bergetar, cukup lembut melagukan irama. Hati Ana tersentuh. "Kekasih yang sangat kusayangi...."sambung Nasir lagi. "Mengapa Kau memungkiri... Segala janji sejati... Apakah berdosa...hinakah diriku ini... Menyayangi dirimu.. Sehingga kau melukai hatiku..." Ana tidak sedar bila air matanya terhambur keluar. Tiba-tiba sahaja dia tidak dapat mengawal diri. Seduannya hampir mengganggu konsentrasi Suzy di sisi. Itu bukan kali pertama dia mendengar lagu Nasir. Malah telah berkali-kali dia mendengar lagu tersebut melalui radio. Akan tetapi entah kenapa, nyanyian Nasir secara langsung pada kali ini kedengaran lebih menggamit perasaan Ana. Ana masih ingat lagi pada kali pertama Nasir mendendangkan lagu Senandung Buat Kekasih. Semasa itu, Nasir belum lagi terkenal seperti sekarang. Semasa itu, Nasir hanya penyanyi jalanan yang tidak dihiraukan oleh sesiapa pun. Bersama iringan gitar kapuk, Nasir menyepadukan sebuah irama yang amat romantis dan menyayat jiwa pada pendengaran telinga Ana. Kata Nasir, lagu itu khas untuk mereka berdua. Pasangan kekasih yang tercipta dari dua jurang berbeza. Dia cepat sahaja melatah apabila Nasir mula menyentuh tentang perbedaan mereka. Dia tidak suka mendengar Nasir merendah diri. Dia tidak suka Nasir mengesali suratan diri. "Nasir..Ana cintakan Nasir bukan kerana harta benda..tapi Ana cintakan Nasir kerana keunggulan yang Nasir miliki....Nasir punyai hati yang sangat murni.."begitu dia jelaskan kepada Nasir supaya Nasir berhenti daripada memikirkan yang tidak-tidak. "Ana..."Nasir melepaskan keluhan yang dalam. Dia diam menanti. Apa lagi yang ingin Nasir hujahkan. "Perbezaan antara kita terlalu jauh, Ana...kita ini ibarat dua orang pengembara yang menuju ke dua haluan yang berbeza..satu ke utara dan satu lagi ke selatan..manakan mungkin pengembara-pengembara ini akan bertemu...."kata Nasir dalam nada perlahan. Dia mendengus. "Nasir...Ana ni tak pandai nak bermadah seperti Nasir...tapi Ana percaya...seperti kata ahli sains...dunia ini bulat bentuknya...kalau seorang pengembara menuju ke utara dan seorang lagi menuju ke selatan, walau selama mana pun masa yang diambil..mereka pasti akan bertemu kelak pada suatu masa nanti...pada suatu titik yang tidak terduga...Jadi, kita pun tentu begitu juga.." Nasir diam. Mati kata-kata. Ana pula tersenyum puas. Seolah-olah kemenangan telah menjadi miliknya. Begitulah yang berlaku kepada mereka setiap hari. Setiap hari pun begitulah. Ana akan menanti Nasir setiap malam di dataran karyawan berhampiran pasar budaya, sebaik sahaja selesai urusannya di pejabat. Mendengar Nasir dan beberapa orang teman seangkatan Nasir, berpuisi, membaca sajak dan juga mendendangkan lagu-lagu puisi kepada orang yang lalu-lalang. Walaupun penontonnya tidak berapa ramai, namun Ana tidak peduli itu semua. Apa yang penting adalah hatinya terhibur melihat telatah anak-anak muda pejuang seni itu. Usaha mereka tampak simbolik dan menarik. Hanya orang seperti Ana sahaja yang mampu menghargainya. Tiba pada suatu ketika, ayah menjemput Nasir datang ke rumah. Itu pun selepas beberapa kali Ana menceritakan perihal pemuda itu kepada ayah. Kata ayah, ayah mahu menyegerakan pertalian kasih antara dia dan Nasir jika benar Nasir ketara kesungguhannya. Nasir sendiri lantas menjadi tidak keruan dengan permintaan ayah. Bermacam-macam kemungkinan yang bukan-bukan menerpa diri Nasir. Ana yang sememangnya dari awal lagi telah menduga keadaan itu, akhirnya berjaya meyakinkan Nasir tentang ketulusan ayah. Petang itu, sebelum Nasir tiba, dia menemani Nasir membeli-belah. Membeli persalinan yang indah untuk Nasir. Semua dia yang bayarkan. Dia mahu ayah senang melihat penampilan Nasir nanti. Dia mahu ayah menerima Nasir sepertimana penerimaannya terhadap lelaki itu. Akan tetapi alangkah terkejutnya Ana apabila melihat sambutan ayah terhadap Nasir. Sebaik sahaja Nasir melabuhkan punggung di atas sofa mewah banglo ayah, ayah terus menempeleng Nasir. Nasir tersungkur menyembah lantai. "Sampah tak tahu malu...mengemis di tepi jalan..ada hati mahu melamar anak aku!"cemuh ayah. "Ayah!"Ana tergamam. Terkilan dengan sikap mendadak ayah. Tidak disangka ayah yang selama ini begitu lembut dan pengasih terhadapnya, boleh bersikap sedemikian kepada Nasir. Ana lihat bibir Nasir berdarah. Muka Nasir merah. Apatah lagi hati Nasir. Tentu luka di dalam itu lebih melebar daripada apa yang disaksikannya di ruang mata. Dengan perlahan, Nasir bingkas lalu melontarkan sebuah pandangan pilu kepadanya. Ternyata, apa yang Nasir duga selama ini telah menjadi kenyataan. Memang jurang antara mereka tidak bisa ditemukan lagi. Mereka adalah pengembara yang berada pada haluan berbeza. Sebelum pengembara-pengembara itu sempat dipertemukan, ajal telah mendahului mereka. Dia hanya mampu memerhati kepergian Nasir. Dia tahu hati Nasir tercalar. Dia tahu Nasir rasa terhina. Rasa terhina yang amat sangat. Wahai Nasir, maafkan diri ini..Ana tidak pernah menduga sama sekali bahawa segala keterlanjuran ini akan berlaku... Nasir, nasib kita terlalu buruk! Iya, nasib kita sangat buruk! Kitalah orang yang malang! "Tidak, bukan nasib kita, tetapi nasib Nasir..."cepat sahaja Nasir memintas kata-katanya ketika mereka bertemu lagi pada beberapa ketika selepas peristiwa di banglo ayah. Dia tergamam melihat kedinginan Nasir yang tiba-tiba itu. "Nasir bukan macam Ana..Nasir orang miskin yang tidak punya apa-apa..Nasir ni hina...sampah yang mengemis kasih orang...."sambung Nasir lagi. Dia makin celaru. "Nasir ni penyair jalanan yang kotor..bodoh...jijik...." Ana sudah tidak tertahan mendengarnya. Kata-kata Nasir itu seperti sebuah sindiran tajam yang menoreh-noreh sanubari. Makin lama didengar, makin tercalar hati kecil ini. "Cukup!"dia terpekik mendadak. Nasir tersentak. Merenung tepat kepada mata Ana yang berkaca-kaca. "Ana tak pernah anggap Nasir macam tu...Ana sayangkan Nasir...."katanya menahan sebak. Nasir tunduk, menyembunyikan rasa bersalah. "Nasir, tolonglah jangan hukum Ana macam ni...Ana tak dapat menghadapinya...kita sepatutnya berusaha untuk memujuk ayah, supaya ayah dapat menerima kita..." Dia menangis tersedu-sedan. Membiarkan Nasir terus ditindih oleh rasa bersalah yang tidak bertepi. Nasir gelisah. Gelisah melihat diri ini diulit resah. Biarlah, biarkan Nasir menyaksikan betapa tersiksanya diri ini di atas sikap Nasir yang keterlaluan itu. "Nasir mintak maaf.."ucap Nasir sejurus kemudian setelah menyaksikan Ana tidak berhenti-henti menahan sebak. Nasir sentuh bahu Ana. Nasir usap rambut Ana. Membelai hati Ana yang sedih. Hati Ana terpujuk kembali. Sejuk dengan kelembutan Nasir. Setelah itu, jalinan antara mereka pun berbunga lagi, seperti dahulu-dahulu.. Menguntum kembali harapan-harapan untuk memadu kasih di persada singgahsana. Nasir perlahan-lahan, belajar menerima keadaan diri dan dia sendiri tidak pernah berputus asa memujuk hati ayah yang keras. Berdoa semoga ayah akur dengan kasih mereka. Namun, semua itu tidak lama. Keadaan menjadi semakin teruk pula selepas itu. Ana sudah tidak berupaya untuk memujuk ayah. Kedegilan ayah kiranya tidak bisa dilentur apatah lagi dibendung. Ayah bertambah keras. Tegas dengan pendirian diri. Dalam keadaan sedemikian, dia tersepit di antara dua kehendak. Kehendak ayah atau kehendak kekasih. Yang mana satu perlu didahulukan? Kalut sungguh diri ini memikirkannya. Semakin difikir, bertambah kalut jadinya. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia tidak sampai hati mahu melukai hati Nasir. Tetapi dia juga tidak sanggup menderhakai ayah. Kedua-dua mereka sama penting bagi dirinya. Akhirnya, Ana temui juga keputusannya.. Keputusan yang sama sekali tidak dia merelakannya. Keputusan yang bisa menghancurkan seluruh perasaan Nasir. Keputusan yang turut menjerat dirinya ke dalam kancah luka. Wahai, Nasir...maafkan diri ini..Ana terpaksa. Janganlah pula Nasir menyangka nanti bahawa Ana telah tidak menyayangi Nasir lagi . Sesungguhnya hati ini hanya untukmu sayang. Namun, apalah daya Ana.... "Nasir...Ana minta maaf..."Ana bersuara berat sebaik sahaja Nasir mendapatkannya petang itu di bawah pohon pinang, di laman pasar budaya. Wajah Ana suram. Matanya berkaca-kaca. Nasir seperti sudah mengerti dengan apa yang bakal disuarakannya. Lidah Nasir kelu. Hati Nasir pilu. Nasir tahu ada sesuatu yang ngilu akan berlaku. "Ana terpaksa...ayah mahu Ana kahwin dengan orang lain..."suara Ana semakin berat. Dia tidak berani memandang wajah Nasir. Dia tidak sanggup melihat wajah yang sedih itu nanti. Nasir terus membisu. Terpacak memandang dinding bangunan lama di hadapan sana. Ana memaut lengan Nasir erat-erat. Dia menyembamkan mukanya di situ. Lengan baju Nasir basah dengan air mata Ana. Nasir biarkan sahaja Ana menghujaninya. Menghujaninya dengan sembilu-sembilu pemanah jiwa. Menghujaninya dengan air mata yang tidak sudah-sudah mengalir laju. "Ana tak dapat menderhakai ayah..Ana tak tergamak..." Tiba-tiba Nasir bingkas. Ana tersentak. Dia mendongak memandang tingkahlaku Nasir yang mendadak. Itulah kali pertama dia melihat wajah Nasir setelah cuba dia hindarkannya beberapa kali. Ya tuhan, mata Nasir merah. Muka Nasir begitu sugul. Riak-riak luka yang tidak terbendung lagi terserlah pada wajah yang murni itu. Hati Ana tidak tertahan melihat segala-galanya. Hancur lebur hati ini menghadapi realiti. Nasir, maafkan Ana.... "Ana...Nasir nak ucapkan terima kasih..."suara Nasir sejurus kemudian, perlahan tetapi tertahan-tahan. Ana tersentak. "T..Terima kasih? Untuk apa?" "Kerana melukai hati ini...." Ana terjelepuk longlai. Terasa seperti lutut kaki bergetar kencang. Kata-kata Nasir adalah simbahan minyak panas ke wajah ini. Itulah kali terakhir Ana bertemu dengan Nasir. Sebuah pertemuan yang disudahi dengan banyak kekecewaan. Berita tentang Nasir langsung tidak sampai kepadanya selepas itu. Nasir seperti merajuk jauh. Membawa diri entah ke mana. Putus sudah sebuah kasih sayang yang terbina dengan penuh susah payah selama ini. Ana terpaksa melalui hari-hari yang cukup pahit setelah kepergian Nasir. Sangkanya, dengan menuruti kata ayah, di situ akan dia temui kebahagiaan. Namun, telahannya ternyata silap. Bahagia yang diharap duka pula bertandang. Lelaki yang menjadi pilihan ayah, seorang usahawan muda rupanya tidaklah sebaik disangkakan. Putih di luar. Hitam di dalam. Setelah diri Ana dimiliki, baru terserlah pekung di dada. Zamarul, seorang lelaki bernafsu liar. Tidak cukup makan di rumah, di luar juga habis diratah. Sudahnya, Ana menjadi mangsa. Bukan sahaja kasih tidak diberi, malahan simpati juga jauh sekali. Ana dipukul dan disakiti seperti hamba abdi. Ibarat barang permainan, begitulah lagaknya Ana diperlakukan. Akhirnya, Ana diceraikan. Apa gunanya memadu kasih. Andai di situ tiada keserasian. Setelah itu, tinggallah Ana seorang diri. Membawa nasib diri yang malang tidak bertepi. Ayah pula, sepatah kata tidak berani diluah. Kerana tindakan membawa padah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Nasir, mungkin ini hukuman yang harus Ana lalui kerana menodai cinta kita. Nasir, Ana tidak bahagia sekarang Nasir. Ana sangat sedih. Kalaulah ayah merestui kita dulu, tentu keadaan tidak menjadi sebegini. Kini, Nasir sudah di puncak mahligai. Menjulang nama sebagai artis tersohor. Nasir ibarat bintang-bintang di awan. Tidak terdaya tangan ini untuk menggapainya. Ana cuma rumput di bumi yang mana saling tidak tumpah seperti peminat-peminatmu yang lain. Hanya mampu memerhatikan dirimu dari jauh. Tepukan seisi penghuni dewan mematikan lamunan Ana sejak sekian lama. Baru Ana sedar bahawa dirinya begitu dibuai oleh kenangan silam sehingga lupalah dia sekejap tadi di mana dia berada. Suzy di sebelah melonjak-lonjak girang. Terhibur benar nampaknya kawannya seorang itu. Perlahan-lahan Ana menyeka air mata dengan lengan baju. Hatinya terasa seperti dihiris-hiris oleh nyanyian syahdu dari Nasir. Perlahan-lahan juga, Ana bingkas, menyusup-nyusup di celah-celah khalayak penonton, membawa hati yang terluka ke luar sana. Dia sudah tidak dapat bertahan mendengar irama-irama kekecewaan dari Nasir. Lagu-lagu Nasir benar-benar menyayat hati. Ana tahu kecewa Nasir belum lagi terubat. Hati Nasir masih lagi berdarah. Keadaan di luar lengang dan sunyi. Malam yang sudah begitu larut terasa membawa semacam arus dingin, menyapa lembut wajah Ana yang suram. Di bawah pohon pinang besar, di tepi jalan, Ana menangis seorang diri. Mengenang nasib diri yang malang. Mengenang kepada kemanisan-kemanisan lalu yang sudah tidak lagi menjadi kemanisan-kemanisan. "Ana..."suatu suara yang cukup sinonim pada pendengarannya tiba-tiba berkumandang. Dia tersentak lalu mendongak ke hadapan. Dia tergamam tidak terkata melihat sekujur tubuh yang sangat disayanginya berdiri tegak di situ. Dia seperti dipukau orang, kaku dan kelu. "Ana..."panggil Nasir sekali lagi. Suara Ana tenggelam tidak terkeluar . "Nasir tidak pernah berhenti daripada mencintai Ana...selama kita berpisah..tidak pernah hati ini terseleweng sedikit pun daripada diri Ana...." Ana memejam mata. Suara Nasir kedengaran cukup menusuk. Ada air mata merembes di pipi. "Nasir sangat mencintai Ana....dan akan terus mencintai Ana sampai bila-bila..." Nasir melangkah kemas mendapatkan Ana. Tangan Nasir yang kasar memaut erat bahu Ana. Bersama-sama pautan itu, tersemailah semula ikatan yang telah lama terputus selama ini. Ana tenggelam di dalam keharuan yang amat sangat. Sedikit demi sedikit, mereka pun berlalu, meninggalkan dewan besar yang menjadi saksi kepada jalinan kasih mereka. |